Saya dan isteri, Masdiana, berkesempatan turun ke Kampung Kuala Sungai Baru pagi ini sebagai sebahagian daripada usaha Ops Mega Pembersihan bagi kawasan terjejas akibat Kebakaran Paip Gas di Putra Heights.
Bersama-sama sukarelawan dan pasukan teknikal, kami memulakan kerja-kerja pembersihan di kawasan ini. Saya turut menziarahi beberapa buah rumah mangsa dan mendengar sendiri kisah mereka – benar-benar menyentuh perasaan dan meruntun jiwa.
Melihat kesan kemusnahan yang ditinggalkan oleh tragedi ini secara langsung memberi pengajaran bahawa usaha pemulihan tidak hanya memerlukan fizikal dan aset, tetapi juga semangat dan empati.
Kerajaan Negeri Selangor akan terus berdiri teguh bersama semua mangsa dalam tempoh pemulihan ini – memastikan keperluan mereka dijaga dan bantuan yang dijanjikan disampaikan.
Kepada semua yang terlibat dalam Ops Mega Pembersihan pada hari ini dan esok, saya ucapkan terima kasih tidak terhingga. Titik peluh kalian sangat bermakna untuk kebangkitan semula komuniti Putra Heights dan kawasan sekitarnya.
#KitaSelangor