Kebakaran Paip Gas di Putra Heights: JPNS Laksana Aktiviti Sokongan Emosi Untuk Pelajar Terjejas
Susulan tragedi Kebakaran Paip Gas di Putra Heights pada 1 April 2025, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) segera menggerakkan inisiatif sokongan emosi kepada pelajar dan kanak-kanak yang terkesan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu Dewan Camelia dan Masjid Putra Heights.
Menerusi pasukan Smart Support Team JPNS, pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk membantu anak-anak ini menyesuaikan diri dengan situasi pasca tragedi. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk melakar peta Malaysia sebagai simbol harapan, permainan lego, dan mainan interaktif yang lain.
Menurut wakil JPNS, Fadzilah Mohamed Yazid, lapan petugas telah ditempatkan sejak hari kedua kejadian, dan kini sekurang-kurangnya tiga sukarelawan hadir setiap hari secara bergilir, terutama selepas sesi persekolahan bermula.
Kehadiran pelajar direkod secara harian, dengan jumlah yang berubah mengikut keadaan semasa termasuk faktor kesihatan dan keselamatan. Usaha ini adalah manifestasi keprihatinan kerajaan dan jabatan pendidikan terhadap kesejahteraan emosi kanak-kanak yang pastinya mengalami trauma selepas kejadian.
Sebagai Menteri Besar Selangor, saya menyambut baik inisiatif JPNS ini yang selaras dengan matlamat kami untuk memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak terus terpelihara meskipun dalam waktu sukar. Insya-Allah, kita akan terus memberi sokongan berterusan sehingga semua keluarga kembali pulih sepenuhnya.
#KitaSelangor