Kebakaran Paip Gas di Putra Heights: Lebih 400 Dokumen Rasmi Dipulihkan Melalui Kaunter Bergerak JPN
Sebagai sebahagian daripada inisiatif bantuan segera untuk mangsa Kebakaran Paip Gas di Putra Heights, perkhidmatan Kaunter Bergerak MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah berjaya menyelesaikan lebih 400 urusan dokumen rasmi dalam tempoh empat hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Program khas ini dilaksanakan sejak 3 April melalui dua pasukan bergerak iaitu Bas MEKAR JPN Putrajaya dan Van MEKAR JPN Selangor. Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah gantian kad pengenalan, cabutan sijil kelahiran, sijil kematian, sijil perkahwinan dan permohonan MyKid.
Menurut Timbalan Pengarah MEKAR dan Korporat JPN, Nurzalizah Kartika Abdullah, ramai mangsa datang dalam keadaan trauma dan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri. Justeru, inisiatif MEKAR memudahkan mereka untuk mendapatkan semula dokumen penting bagi urusan perubatan, persekolahan dan bantuan kebajikan.
Setakat ini, sebanyak 443 urusan rasmi telah direkodkan dan 291 khidmat nasihat diberikan kepada mangsa dan keluarga mereka. Perkhidmatan lain termasuk cabutan sijil anak angkat, sijil warganegara dan cetakan cip kad pengenalan turut ditawarkan.
Sebagai Menteri Besar Selangor, saya menzahirkan penghargaan kepada JPN atas usaha proaktif ini yang amat membantu mangsa dalam fasa pemulihan pasca bencana. Kerajaan Negeri Selangor akan terus menyokong segala usaha bagi memastikan rakyat yang terkesan dapat bangkit semula dengan lebih kuat.
#KitaSelangor
#AmirudinShari