Sumbangan

Hampir 5,000 Sukarelawan Serbu Putra Heights! Ops Mega Pembersihan Bermula

Alhamdulillah, pagi ini saya cukup bersemangat menyaksikan semangat luar biasa hampir 5,000 petugas dan sukarelawan yang turun padang sempena pelaksanaan ‘Ops Mega Pembersihan’ di kawasan terkesan insiden Kebakaran Paip Gas di Putra Heights.

Program yang berlangsung selama dua hari ini adalah anjuran bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Operasi menyasarkan kawasan-kawasan yang telah disahkan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sebanyak 264 unit kenderaan dan jentera telah digerakkan termasuk lori water jetter, lori RORO, backhoe, road sweeper, wood chipper, skylift, dan kenderaan pacuan empat roda untuk melancarkan misi pembersihan ini.

Tujuh skop utama Ops Mega Pembersihan:

  1. Pembersihan longkang
  2. Pembersihan jalan
  3. Pembersihan lorong belakang
  4. Kawasan parkir
  5. Dinding dan tembok rumah
  6. Pemotongan pokok terbakar
  7. Bantuan mengangkat barang rumah rosak

Kepada semua mangsa tragedi Putra Heights – ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian. Kerajaan Negeri Selangor bersama anda sepenuhnya. Kami akan terus membantu dalam setiap keperluan untuk memulihkan kehidupan anda seperti sediakala.

#KitaSelangor