Laporan Harian

TNB & TM Beri Komitmen, Sambungan Semula Bermula Minggu Ini

08.04.2025

Kebakaran Paip Gas di Putra Heights: Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi Dijangka Pulih Jumaat Ini

Kerajaan Negeri Selangor terus mempercepatkan usaha pemulihan selepas tragedi Kebakaran Paip Gas di Putra Heights yang berlaku 1 April lalu. Terkini, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim, memaklumkan bahawa kerja-kerja penyambungan semula bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi dijangka siap sepenuhnya menjelang Jumaat, 12 April 2025.

Proses ini melibatkan kerjasama erat antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM). Menurut beliau, sambungan elektrik akan dilakukan sehingga ke meter utama rumah, namun safety fuse akan dicabut sementara sebagai langkah keselamatan, sehingga pemilik rumah kembali menetap secara rasmi.

Bagi rumah yang masih dalam keadaan baik dengan sistem pendawaian dalaman yang selamat, penyambungan semula akan dilakukan tanpa kelewatan. Perkhidmatan telekomunikasi juga dijangka pulih secara berperingkat agar komunikasi dan capaian digital mangsa dapat diteruskan.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam pelbagai kenyataan sebelum ini telah menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan segala keperluan asas mangsa diberikan keutamaan. Penekanan turut diberikan terhadap penyelarasan agensi, kelancaran proses pemulihan serta sokongan kepada mangsa untuk kembali meneruskan kehidupan dengan selamat dan bermaruah.

Langkah ini sekaligus menunjukkan keseriusan pihak Kerajaan dalam menangani krisis secara menyeluruh dan berkesan demi kesejahteraan rakyat Selangor.

#KitaSelangor