9 April
Hari ini, sebuah pelan tindakan komprehensif bagi membaik pulih dan membina semula kediaman mangsa Kebakaran Paip Gas di Putra Heights telah diserahkan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Langkah ini merupakan kesinambungan usaha menyeluruh yang digerakkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan kesejahteraan penduduk terjamin pasca tragedi 1 April lalu.
Pelan tindakan tersebut disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang ditubuhkan minggu lalu. Pasukan ini dianggotai oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan PR1MA Malaysia, dan berperanan merangka strategi pelaksanaan pembinaan semula rumah-rumah yang musnah dan terjejas.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dalam kenyataan sebelum ini menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu dalam memastikan proses pemulihan pasca kebakaran berjalan lancar. Penyerahan pelan ini melambangkan iltizam bersama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk memberikan solusi perumahan yang tuntas kepada mangsa.
Kerajaan turut memaklumkan bahawa lokasi-lokasi penempatan sementara kini sedang dinilai bagi memastikan mangsa boleh kembali hidup secara selesa sambil menunggu pelaksanaan pembinaan semula. Usaha penyelarasan ini juga turut melibatkan sumbangan daripada pihak swasta termasuk Airbnb, LPHS dan beberapa syarikat korporat.
Dengan penyerahan pelan tindakan ini, diharapkan proses baik pulih dapat dijalankan segera dengan pemantauan menyeluruh agar semua mangsa dapat kembali menetap dalam keadaan lebih selamat dan selesa.
#KitaSelangor