Kebakaran Paip Gas di Putra Heights: Kerja Projek Ada Permit Sah, Tuduhan Sembunyi Maklumat Adalah Tidak Benar
Berikutan insiden Kebakaran Paip Gas di Putra Heights, terdapat dakwaan yang cuba menimbulkan persepsi negatif kononnya Kerajaan Negeri Selangor menyembunyikan maklumat berhubung pelaksanaan projek paip gas di kawasan tersebut.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim, tampil menjelaskan bahawa semua kerja-kerja berkaitan dengan projek paip gas yang dijalankan di lokasi terbabit telah mendapat permit sah daripada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
Menurut beliau, semua proses dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan, termasuk pemantauan rapi oleh pihak berwajib serta kontraktor yang dilantik. Tambah beliau, tidak timbul soal kerajaan menyembunyikan maklumat kerana semua data dan proses sentiasa berada dalam radar pemantauan agensi teknikal.
Penegasan ini penting agar masyarakat tidak terkeliru dengan tuduhan tidak berasas yang boleh menjejaskan usaha pemulihan serta ketelusan pihak berkuasa dalam menangani tragedi yang menyayat hati ini.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari juga sebelum ini menegaskan bahawa sebarang bentuk siasatan perlu diberi ruang yang bebas, telus dan profesional bagi mengenal pasti punca sebenar insiden. Kerajaan Negeri kekal komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
#KitaSelangor