Alhamdulillah, pada 3 April 2025, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang melibatkan lebih daripada 39 agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk menguruskan insiden kebakaran di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
Kronologi Kejadian:
1. 308 keluarga, yang melibatkan 1,254 mangsa, telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
2. 2 mangsa sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kesan terdedah kepada asap.
3. 630 mangsa dari 157 keluarga ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia Putra Heights.
4. 624 mangsa dari 151 keluarga kini menumpang di rumah saudara atau kawan atas usaha sendiri.
5. 87 rumah mengalami kerosakan total dan 148 rumah terjejas tetapi masih boleh diperbaiki.
Siasatan & Tindakan Awal:
6. Siasatan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menilai unsur jenayah atau kecuaian, serta DOSH yang menjalankan siasatan teknikal di lokasi kejadian.
7. Laporan siasatan dijangka siap dalam tempoh dua minggu, dengan hasil siasatan lanjut oleh DOSH dan PDRM.
8. 20 rakaman dashcam daripada orang awam sedang dianalisis untuk mengenal pasti saksi tambahan.
Pemulihan & Bantuan:
9. 85 keluarga di Taman Harmoni dibenarkan pulang setelah pembekalan utiliti disambungkan, sementara Kampung Kuala Sungai Baru masih dalam proses pembaikan dan tidak dapat didiami.
10. Syarikat seperti Chery, Carro, dan Carsome menawarkan bantuan kenderaan kepada mangsa yang terjejas. Yayasan Islam Darul Ehsan juga akan menyokong pelajar-pelajar dari keluarga yang terjejas dengan bantuan perjalanan ke sekolah.
11. Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Airbnb untuk menyediakan penempatan sementara kepada mangsa tanpa caj sehingga penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan.
Sokongan Sukarelawan:
12. 100 sukarelawan dari SERVE dan Team Selangor akan membantu kerja pembersihan di rumah-rumah yang telah selamat didiami oleh penduduk. Sebarang pertolongan dari pihak luar juga disarankan untuk berdaftar dengan SERVE bagi memudahkan bantuan disalurkan.
Komitmen Kerajaan Negeri:
13. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan cadangan dan bantuan, termasuk 489 anggota Kerajaan yang telah turun ke lokasi 10 minit selepas kejadian.
Insya-Allah, kami akan memastikan semua mangsa mendapat sokongan yang sewajarnya dan membantu mereka untuk kembali menjalani kehidupan mereka dengan lebih yakin.
#KitaSelangor