Alhamdulillah, mesyuarat ke-6 Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah berlangsung hari ini untuk memberi laporan penuh mengenai insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang berlaku minggu lepas. Saya telah diberi taklimat mengenai perkembangan terkini tentang rumah yang terjejas, bantuan yang diberikan, serta usaha-usaha pemulihan yang sedang dijalankan.
Berikut adalah ringkasan perkembangan terkini:
1. Jumlah Rumah Dibenarkan Diduduki Semula:
Sehingga semalam, 151 rumah telah disahkan selamat dan pemiliknya telah dibenarkan untuk kembali ke rumah masing-masing secara berfasa. Proses pembersihan telah dilaksanakan dengan bantuan sukarelawan SERVE dan Team Selangor yang turun padang.
2. Jumlah Rumah Terkesan:
Sebanyak 437 rumah telah terkesan dalam insiden ini, dan daripada jumlah tersebut, 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 rumah separa musnah, dan 57 rumah terbakar tetapi tidak mengalami kerosakan struktur.
3. Anggaran Kerugian:
Nilai kerosakan bagi rumah-rumah yang terjejas dianggarkan sebanyak RM65.4 juta, manakala nilai yang telah diselamatkan melalui tindakan pantas oleh agensi seperti Jabatan Bomba dan PDRM dianggarkan sebanyak RM285.9 juta.
4. Bantuan Kepada Keluarga:
Kerajaan Negeri telah menyediakan bantuan untuk 219 keluarga, dengan bantuan kewangan sebagai berikut:
• RM10,000 bagi rumah yang musnah sepenuhnya.
• RM5,000 bagi rumah yang separa musnah.
• RM5,000 kepada penyewa rumah yang terjejas.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberikan bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan untuk membantu keluarga yang terkesan menyewa rumah sementara.
5. Bantuan Pengangkutan Pelajar Sekolah:
28 pelajar yang terjejas kini mendapat pengangkutan percuma ke sekolah, disediakan melalui kerjasama Prasarana Sdn Bhd dan diselaraskan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Bantuan RM500 juga diberikan kepada 265 pelajar untuk membeli keperluan asas yang termusnah akibat kebakaran.
6. Proses Pemulihan:
Dato’ Johary Anuar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, telah dilantik untuk mengetuai Fasa Pemulihan bagi memastikan rumah, infrastruktur, dan kemudahan awam yang terjejas dapat dibaiki secepat mungkin.
Kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa kebakaran ini, dan kami akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan rakyat Selangor terpelihara.
#KitaSelangor