Kenyataan Media

Kebakaran Paip Gas Putra Heights: 56 Keterangan Direkodkan, Siasatan Terus Berjalan

04.04.2025

4 April 2025

Alhamdulillah, saya ingin berkongsi perkembangan terkini mengenai insiden letupan paip gas yang berlaku pada 1 April 2025 di Putra Heights, Selangor. Pihak Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, telah mengadakan sidang media untuk memberi taklimat penuh tentang kejadian, siasatan, dan tindakan yang sedang diambil oleh pihak berkuasa.

Kronologi Kejadian:

1. Letupan besar berlaku pada 1 April 2025 yang melibatkan paip gas milik Petronas yang menyebabkan kawah sedalam 8 meter dan berdiameter 70 meter. Tiga paip gas terlibat, dengan salah satu daripadanya pecah dan mengakibatkan letupan.

2. Paip gas tersebut berusia lebih 30 tahun, dipasang sejak 1991.

Siasatan & Tindakan Awal:

3. Pasukan Teknikal telah dibentuk di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, dengan kerjasama pelbagai agensi seperti JKR, JPS, MBSJ, Petronas, JKKP, GNB, Air Selangor, dan Jabatan Mineral & Geosains.

4. Dua bentuk siasatan sedang dijalankan:

Siasatan Teknikal oleh JKR dan DOSH, untuk meneliti punca kejadian.

Siasatan Jenayah oleh PDRM, bagi mengenal pasti unsur khianat atau kecuaian.

5. Kuasa siasatan berlandaskan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA), Arahan NADMA No. 1, dan Akta Polis.

Perkembangan Siasatan:

6. Kerja stabilisasi kawasan kini dilaksanakan kerana struktur tanah yang tidak stabil akibat letupan.

7. Laporan awal dijangka siap dalam tempoh dua minggu, dan laporan penuh dalam tempoh empat minggu.

8. 56 keterangan telah direkodkan, termasuk daripada mangsa, kontraktor, dan pekerja yang terlibat.

9. Terdapat aktiviti korekan tanah oleh kontraktor sebelum kejadian, dipercayai untuk kerja penggantian paip kumbahan. Kerja tersebut dihentikan pada 30 Mac 2025.

10. Sebuah jentera penggorek (excavator) terbenam dalam kawah letupan.

11. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menilai sama ada aktiviti korekan menjadi punca letupan.

12. Seorang pengawal keselamatan cedera semasa letupan berlaku, tetapi tidak mengalami kecederaan serius.

13. Tiada laporan kehilangan orang buat masa ini. Siasatan menggunakan unit K9 dan pemeriksaan rumah sekitar masih dijalankan.

14. Semua aktiviti korekan sebelum kejadian telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bukti Tambahan:

15. Polis telah menerima 20 rakaman dashcam daripada orang awam yang kini sedang dianalisis untuk mengenal pasti saksi tambahan.

Fakta Teknikal:

16. Petronas tidak mengesan sebarang kebocoran awal melalui sistem sensor tekanan gas mereka.

17. Letupan hanya boleh berlaku apabila terdapat tiga elemen: gas, oksigen, dan pencetus (ignition). Punca pencetus masih dalam siasatan.

18. Sistem saluran gas ini meliputi laluan dari Terengganu ke Perlis dan ke Thailand.

Komitmen & Ketelusan:

19. Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan dengan telus, dan laporan akan didedahkan kepada umum apabila selesai.

Kami akan terus memberi perhatian penuh kepada perkembangan insiden ini dan pastikan segala langkah diambil untuk memastikan keselamatan rakyat Selangor. Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama dalam menangani insiden ini.