Hari ini menandakan satu titik penting dalam usaha pasca tragedi Kebakaran Paip Gas di Putra Heights. Selepas 11 hari insiden tersebut berlaku, Mesyuarat Ke-10 Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berlangsung sebagai mesyuarat terakhir bagi fasa pengurusan bencana. Kini, kita memasuki fasa pemulihan sepenuhnya.
🏡 Pendaftaran Rumah Sewa dan Homestay
Sebanyak 87 keluarga telah mendaftar untuk penempatan sementara seperti rumah sewa dan homestay Airbnb yang ditawarkan secara percuma selama sebulan. Baki 16 keluarga belum mendaftar kerana sedang mencari lokasi strategik berhampiran sekolah dan tempat kerja. Saya menyeru agar mereka segera mendaftar untuk keselesaan dan keselamatan keluarga.
🔧 Penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Putra Heights
Sebagai kesinambungan, Jawatankuasa Pemulihan Putra Heights telah diaktifkan untuk menyelaras proses baik pulih infrastruktur dan bantuan termasuk subsidi sewa rumah oleh Kerajaan Negeri sehingga enam bulan. Pada 14 April ini, penduduk yang rumah mereka musnah atau separa musnah akan menghadiri taklimat bantuan sewa dan pembinaan semula rumah yang selamat dan teratur.
📚 Bantuan Pendidikan untuk Pelajar dan Mahasiswa
Saya telah menyerahkan bantuan RM500 kepada 265 pelajar melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) – MBI, melibatkan jumlah keseluruhan RM132,500. Tambahan lagi, Kementerian Digital menyerahkan:
• 100 tablet dan powerbank
• 75 laptop kepada pelajar sekolah dan mahasiswa
• Baucar buku RM200 kepada 37 mahasiswa
🧹 Pembersihan Mega Bermula Esok
Esok, operasi pembersihan mega akan dilaksanakan oleh MB Subang Jaya bersama 1,402 anggota dan sukarelawan di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru. Saya yakin usaha ini akan mempercepatkan proses pemulangan mangsa ke rumah masing-masing dengan lebih selamat dan teratur.
Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan segala kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Selangor terjaga.
#KitaSelangor
#MalaysiaMADANI